PAS Sarawak menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang akan dibentangkan ke Parlimen dalam masa yang terdekat.
Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksanakan hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses yang panjang dan penuh dengan ranjau berduri sejak era Mantan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.
Sejarah penggubalan ianya cukup matang dan difahamkan ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Antarabangsa Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad. Selain itu, ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan dalam bidang syarie dan jenayah sivil malah ianya telah melalui proses memperkenalkan, membincang dan meluluskannya. Enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini telah genap usia 21 tahun pada bulan November ini sejak ia diluluskan pada November 1993.
Malah tidak terkecuali ia juga melalui proses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut diadakan di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Forum dan perbincangan secara terbuka telah dianjurkan oleh pelbagai pihak sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri kelantan, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong usaha Kerajaan untuk melaksana perundangan syariah tersebut. Malangnya permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat.
Usaha kerajaan Kelantan ini bertepatan dengan kehendak perlembagaan negara kita yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi kerajaan persekutuan. Disamping itu, kebebasan beragama juga termasuk dalam perlembagaan dimana Islam sebagai agama rasmi sepatutnya bebas melaksanakan perundangan syariah terhadap penganutnya tanpa sebarang sekatan oleh pihak lain.
Dengan perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan sudah tentu akan memperkukuhkan lagi maksud sebenar agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Perlaksanaan Islam bukan sahaja terbatas kepada ibadah, munakahat dan muamalat sahaja, tetapi dengan meliputi perundangan seperti perlaksanaan hudud maka secara tidak langsung merangkumi hukum-hakam dan perundangan jenayah yang mana ianya memperluaskan lagi maksud sebenar Islam sebagai agama rasmi dalam negara ini.
Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah oleh kerajaan Kelantan ini bukannya untuk mendapat keuntungan politik tetapi ianya merupakan satu kewajipan umat Muslim untuk melaksanakan perintah Allah sepertimana kepercayaan akidah yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Muslim. Ianya adalah satu akidah yang telah pun sabit dalam al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu.
PAS Sarawak juga berharap komitment Kerajaan Persekutuan yang menyokong hasrat kerajaan Kelantan seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Khir Baharom bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 bukan omong-omong kosong.
PAS Sarawak juga minta semua pihak menghormati hasrat PAS agar dapat memberi sokongan tanpa ada sikap prejudis agar ianya berjalan dengan lancar tanpa sebarang tentangan terutama dari MP yang menganut agama Islam.
Kita mendoakan agar Kerajaan Negeri Kelantan dapat melaksanakan amanah yang telah sekian lama terpendam ini akan mencapai kejayaan tanpa ada sebarang halangan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Semoga hasrat Kerajaan Negeri Kelantan akan dipermudahkan oleh Allah Taala dan akan dicontohi oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang lain.
Andri Zulkarnaen Hamden @ abusiraj almuner
Ketua Penerangan
Badan perhubungan PAS Sarawak
No comments:
Post a Comment